HANISAH BINTI
KHUSNI
219730
PUSAT PEMULIHAN – FALSAFAH
PEMULIHAN
Statistik rasmi menunjukkan
peningkatan bilangan penagih dadah di Malaysia dan perkara ini perlu dibendung
dengan segera. Kerajaan telah menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan
dadah di negara ini sejak tahun 1975 dengan menggunakan pendekatan Psikososial.
Pada ketika itu masalah dadah merupakan masalah sosial. Justeru, pihak kerajaan
meletakkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dadah di bawah tanggungjawab
Kementerian Kebajikan Am Malaysia. Strategi yang digunakan kerajaan bagi menangani
masalah dadah ialah penguatkuasaan sebagai strategi utama, diikuti dengan
pencegahan sebagai strategi kedua, dan seterusnya perundangan dan penyelidikan
serta yang terakhir ialah kerjasama antarabangsa.
Pada tahun 1983, kerajaan telah
mengambil satu pendekatan baru dalam usaha memerangi wabak dadah dalam negara.
Dalam tahun tersebut masalah dadah diisytiharkan sebagai satu ancaman kepada
keselamatan negara. Ini disebabkan oleh penagihan dadah dalam negara akan
mencapai tahap membimbangkan sekiranya
langkah-langkah tegas tidak diambil untuk membanterasnya. Selain itu, sasaran utama penagihan dadah ialah generasi
muda yang merupakan tulang belakang dan harapan negara di masa hadapan. Sememangnya
penagihan dan pengedaran dadah yang berleluasa boleh mengancam
kesejahteraan sosio-ekonomi , rohani serta budaya rakyat Malaysia
seterusnya melemahkan ketahanan nasional dan keselamatan negara.
Kerajaan telah mewujudkan satu dasar
falsafah bertujuan untuk melahirkan satu masyarakat yang bebas daripada ancaman
dadah. Dasar ini telah diisytiharkan oleh Y.A.B. Tun Dr.Mahathir bin Mohamad,
bekas Perdana Menteri Malaysia pada 19 Februari 1983 semasa melancarkan Kempen
Anti Dadah. Semenjak itu, dadah dianggap sebagai musuh nombor satu negara. Pada
Mei 1983, kerajaan telah memutuskan supaya perkhidmatan dan rawatan pemulihan
diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri. Berikutan
pengambilalihan perkhidmatan tersebut, kerajaan telah menggubal Akta Penagih
Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 sekaligus memperkenalkan satu pendekatan
baru iaitu Multidisciplinary Approach
dengan berkonsepkan Tough and Rugged
yang lebih agresif dan tegas dalam rawatan dan pemulihan dadah. Melalui
pendekatan ini, setiap penagih yang mengikuti rawatan dan pemulihan di pusat serenti
dikehendaki menjalani proses regimentasi ala tentera dengan tujuan untuk
membina ketahanan mental dan fizikal serta displin diri.
Pada tahun 1985, Jawatankuasa
Anti-Dadah (JKAD) telah merumus Dasar Dadah
Negara dan pencegahan dijadikan strategi utama yang diikuti dengan
penguatkuasaan undang-undang serta pemulihan. Manakala kemajuan tenaga manusia
dan penilaian kerjasama antarabangsa dan penyelarasan merupakan strategi
sokongan. Kemudian dasar ini telah ditukar kepada strategi yang baru oleh
Majlis Dadah Negara. Ekoran daripada itu, dasar dadah Negara telah dijadikan
sebagai asas pelaksanaan strategi utama untuk membanteras dadah yang merupakan
musuh utama Negara.
Asas-asas pertimbangan dalam
merumuskan dasar dan strategi anti-dadah negara yang baru adalah berpandukan
dua jenis tindakan. Tindakan yang pertama ialah pengurangan bekalan dadah dan
yang kedua adalah pengurangan permintaan. Rasional di sebalik tindakan-tindakan
tersebut ialah jika bekalan berkurangan dan permintaan dadah dapat dikurangkan
maka masalah dadah akan dapat dihapuskan sama sekali. Strategi dadah pula
menggariskan lima aspek utama untuk membasmi masalah penagihan dadah iaitu
pencegahan kemasukan dadah, pemulihan penagih dadah, pembangunan dan kemajuan
tenaga manusia, kerjasama antarabangsa dan penyelarasan.
Seterusnya, keparahan masalah
dadah pada tahun 1996 telah membayangkan bahawa dadah masih diseludup, masih
boleh diperolehi dan menyebabkan kadar penagihan terus meningkat. Oleh
yang demikian, pada 7 Februari 1996, kerajaan membuat satu penukaran kepada
arah tuju negara memerangi dadah dengan mewujudkan Majlis Dadah Kebangsaan (MDK)
bagi mengantikan Jawatankuasa Anti-Dadah (JKAD) Kebangsaan. Keputusan ini juga
telah mempengaruhi Dasar Dadah Negara masa kini. MDK telah mengatur strategi
baru dalam Dasar Dadah Negara iaitu pertama pencegahan, kedua penguatkuasaan,
ketiga pemulihan serta keempat kerjasama antarabangsa.
Berasaskan kajian lebih 20 tahun
yang dijalankan oleh National Institute of Drug Abuse (NIDA), menunjukkan
dengan jelas bahawa penagihan boleh dirawat. Rawatan terhadap penagihan adalah
berkesan dalam mengurangkan penggunaan dadah dan jangkitan HIV, mengurangkan
kos kesihatan dan sosial akibat penagihan dan mengurangkan kadar jenayah.
Penagihan terhadap dadah merupakan penyakit yang kompleks yang merosakkan
kehidupan seorang penagih terutama dari segi fizikal, mental, sosial dan
spiritual. Menyedari keadaan ini, rawatan penagihan seharusnya memberi
perhatian terhadap pelbagai keperluan penagih yang mencakupi aspek fizikal,
psikologikal, mental, spiritual dan sosial untuk membantu proses kepulihannya.
Semakin parah masalah dan kerosakan yang dialami penagih pada setiap aspek
tersebut semakin tinggi kemungkinannya
untuk menagih semula. Bebas sepenuhnya daripada dadah dan disokong oleh
perubahan personaliti dan gaya hidup adalah penting untuk pemulihan sepenuhnya.
Objektif pemulihan adalah untuk
merawat dan memulihkan penagih dadah supaya bebas daripada pergantungan fizikal
dan Psikologikal terhadap dadah dan seterusnya mengintegrasikan semula penagih
tersebut ke dalam masyarakat sebagai seorang yang normal, berguna dan
produktif. Falsafah pemulihan pula ialah penagih dadah merupakan pesakit yang
memerlukan bukan hukuman tetapi rawatan serta pemulihan, pertolongan dan
sokongan untuk mencapai dan mengekalkan kepulihannya. Dasar pemulihan merujuk
kepada setiap penagih dadah dikehendaki menjalani rawatan dan pemulihan kerana ketagihan
untuk suatu tempoh tertentu dengan cara-cara seperti mana yang diperuntukkan di
bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Pindaan 1998.
Perancangan strategik 25 tahun
untuk melahirkan generasi tanpa dadah menggariskan dua falsafah pencegahan
dadah. Pertama ialah melahirkan generasi yang sihat dan produktif tanpa dadah
dan yang kedua ialah untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta berupaya menolak dadah demi kesejahteraan
diri dan kemakmuran masyarakat dan negara. Oleh itu, matlamat untuk perancangan
strategik ini ialah untuk melahirkan satu generasi yang dari segi ketahanan
jasmani, mental, rohani dan emosi dapat menjauhi dadah.
Keseluruhannya, setiap tahun,
semakin ramai yang terjebak dengan gejala penagihan dadah dan ini menunjukkan
betapa kuatnya pengaruh dadah ke atas manusia. Walaubagaimanapun, agensi-agensi
yang bertanggungjawab akan terus-menerus merangka program-program pemulihan
yang lebih berinovasi untuk mengurangkan kadar penagihan. Seperti yang dapat
kita lihat, dasar mengenai dadah di negara ini telah dirombak beberapa kali
bagi memastikan ianya efisien serta berkesan. Namun, tanpa komitmen masyarakat
untuk membasmi masalah ini, kejayaan mungkin sukar untuk dicapai. Aspek
perkembangan dan pembangunan keluarga haruslah dijadikan teras agar ia dapat
bertindak sebagai benteng pertahanan daripada pengaruh dadah untuk masa kini
dan masa hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan