Isnin, 1 Disember 2014

HUKUMAN - HUKUMAN DI PUSAT PEMULIHAN (PENJARA



DEFINISI HUKUMAN

Pengertian hukuman melibatkan salah laku yang sebenar atau diandaikan berlaku. Ini merupakan hukuman yang bersifat memberi balasan kepada sesuatu kesalahan yang telah dilakukan.hukuman hendaklah dikenakan oleh seseorang yang berkuasa ke atas yang dihukum.hukuman melibatkan sesuatu yang tidak menyenangkan dikenakan ke atas yang bersalah, ia boleh jadi tindakan fizikal bersifat positif yang menyakitkan, atau menafikan sesuatu yang disukainya.
Hukuman atau punishment adalah salah satu cara untuk mengubah satu tingkah laku individu yang tidak normal agar berubah menjadi tingkah laku yang di terima oleh umum. Hukuman akan dijatuhkan pada individu sekiranya tingkah laku yang ditunjukkan oleh mereka masih lagi tidak berubah dan boleh menimbulkan rasa takut kepada masyarakat di sekelilingnya jadi wajar sekiranya individu itu dihukum agar tingkah lakunya berubah dan dapat diterima oleh masyarakat. Hukuman dan penghargaan (reward) adalah suatu yang sangat berbeza, penghargaan diberikan sekiranya individu menunjukkan tingkah laku yang baik manakala hukuman pula diberikan sekiranya individu menunjukkan tingkahlaku yang kurang baik.


HUKUMAN YANG DIJALANKAN DI PUSAT PEMULIHAN (PENJARA)


Terdapat banyak hukuman yang dijalankan di pusat pemulihan di penjara namun ada empat hukuman yang berat yang boleh dijatuhkan ke atas pesalah ataupun banduan iaitu hukuman gantung mandatori, sebat , penjara seumur hidup dan penjara sepanjang hayat.


i. HUKUMAN MATI MANDATORI.



Hukuman mati ialah hukuman yang diputuskan oleh pihak mahkamah membabitkan pesalah dibunuh sebagai balasan jenayahnya. Hukuman mati mandatori seperti yang diperuntukkan ke atas kesalahan mengedar dadah dan memiliki senjata api adalah di antara hukuman yang agak kontroversi dan mendapat kecaman daripada masyarakat antarabangsa sejak kebelakangan ini. Beberapa kajian yang dijalankan mendapati hukuman mati lebih berkesan dalam membendung berbagai gejala jenayah yang semakin menular.
Hukuman mati di Malaysia dikenakan kepada penjenayah yang terlibat dalam jenayah pembunuhan, pengedaran dadah, pengkhianatan, dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong (Raja Malaysia). Baru-baru ini, undang-undang telah diperluaskan kepada tindakan keganasan. Mana-mana pengganas, dan sesiapa yang membantu pengganas adalah bertanggungjawab untuk menghadapi hukuman mati. Hanya Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk seseorang itu dihukum mati. Kes juvana yang melibatkan hukuman mati adalah didengar di Mahkamah Tinggi dan bukannya Mahkamah juvana di mana tempat kes-kes juvenil yang lain adalah didengar. Rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah automatik. Perkataan mandatori adalah satu istilah undang-undang yang membawa maksud termesti suruhan mengikat hukuman dan wajib dituruti tanpa pilihan Ia juga bermakna memberi arahan dan suruhan dengan kuasa. Ia adalah keputusan yang ditetapkan dengan muktamad, apabila kedapatan dalam peruntukan undang-undang mestilah diikuti tanpa pilihan dan tidak sah penghukuman kecua1i dengan mematu peruntukan tersebut. Hukuman mandatori adalah berasaskan konsep bahawa setiap pesalah atau penjenayah mestilah dihukum dengan hukuman tertentu apabila disabitkan. Hukumannya pula adalah bermatlamatkan pembalasan yang setimpal dengan kesalahanya, pembalasan yang tegas dan keras dapat mencegah perlakuan jenayah. Ini boleh berlaku apabila penjenayah dan orang ramai mengetahui hukuman khusus akan dikenakan sekiranya dia didapati bersalah dengan kesalahanjenayah tertentu. Secara umumnya hukuman mandatori lebih bermatlamatkan penghukuman daripada pemulihan.



tempat hukuman gantung




ii. SEBAT.


SEBAT adalah satu bentuk hukuman dalam perundangan Islam yang bertujuan memberi pengajaran kepada penerima hukuman dan orang yang melihatnya. Hukuman sebat juga berupaya menghindar dan membersihkan masyarakat daripada perbuatan dan tabiat keji dan hina. Hukuman merotan atau sebat di Malaysia merupakan hukuman undang-undang yang kedua serius, iaitu selepas hukuman mati. Jumlah rotan paling banyak yang boleh dikenakan ke atas seorang penjenayah mengikut undang-undang jenayah Malaysia ialah 24 rotan. Terdapat dua jenis rotan yang digunakan:

1. Rotan jenis nipis, yang digunakan untuk kes rasuah, kesalahan jenayah pecah amanah (CBT), dan jenayah kolar putih.
2. Rotan jenis tebal, yang digunakan untuk jenayah serius, umpamanya kes rogol dan kekacauan seksual.

Hukuman sebat adalah salah satu hukuman yang amat menyakitkan. Ianya digubal dalam undang-undang Malaysia dengan tujuan supaya pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan serik dan tidak lagi berani malakukan kesalahan yang sama pada masa hadapan. Sebahagian daripada banduan lebih rela menukarkan hukuman satu rotan kepada penjara empat bulan, lantaran takut dengan hukuman sebat yang dijalankan. Kesakitanya yang dialami oleh orang yang disebat dikatakan teramatlah sakit sehingga banduan yang dikenakan sebatan menjerit ,menangis dan bahkan juga ada yang sehingga terbuang air kecil. Merotan dengan rotan tebal yang melebihi lima kali boleh mengakibatkan kematian pucuk dan kematian rasa dari punggung ke bawah yang payah dipulih. Oleh kerana kesan merotan yang begitu dashyat, undang-undang Malaysia mengecualikan kategori-kategori di bawah daripada hukuman tersebut dari dikenakan kepada Orang yang disahkan tidak sihat oleh pegawai perubatan, orang gila , pesalah wanita dan lelaki yang berumur lebih daripada 5o tahun juga tidak akan disebat, khuatiri daya tahan tubuh mereka yang lemah tidak mampu menahan kesan sebatan yang dikenakan.
Semasa proses sebatan dijalankan pegawai yang perlu ada semasa hukuman dijalankan, ialah pegawai Yang Menjaga Institusi, Timbalan Penguasa Penjara, Pegawai Rekod, Pegawai Sebat Rotan, Pegawai Perubatan (menjalankan pemeriksaan kesihatan dan hadir semasa hukuman sebat dijalankan). Pesalah yang akan disebat akan dibuat pemeriksaan kesihatan oleh pegawai kesihatan terlebih dahulu. Ini bertujuan untuk mempastikan pesalah tersbut berkeadaan sihat dan tidak memberi kesan sampingan yang diakibatkan oleh penyakit lain apabila hukuman sebat dilaksanakan. Mereka akan beratur dalam satu baris untuk giliran masing-masing di tempat yang tidak boleh dinampak oleh banduan yang tidak terlibat. Perhatian teliti perlu diambil supaya mengelakkan kesilapan merotan banduan yang tidak bersalah. Pengarah Penjara akan membaca hukuman kepada pesalah, dan memintanya mengesahkan hukuman yang terbaca. Beliau juga akan bertanya pesalah tersebut agar rayuan telah dibuat. Jika ya, hukuman merotan akan ditangguhkan sehingga keputusan rayuan diputuskan. Pelaksanaan hukuman dilaksanakan dengan pesalah akan menanggalkan pakaiannya dan digantikan dengan pakaian apron, iaitu kain bertali yang diikat di pinggang dan dua paha, kain tersebut hanya menutupi bahagian kemaluan depan sahaja, sementara bahagian daging punggung akan terdedah untuk disebat. Sewaktu dirotan, tangan dan punggungnya diikat pada suatu rangka berbentuk "A". Kepalanya diletakkan dibawah sebatang kayu melintang supaya badannya membongkok. Petugas merotan akan bermula dengan memegang rotan secara mendatar atas kepalanya. Apabila dia sedia, dia akan melepaskan tangan kirinya dan menghayunkan rotan kearah punggung pesalah dengan sekuatnya, seolah-olah pemain golf menghayunkan pemukul. Untuk mencapai akibat yang paling dashyat, petugas merotan perlu memastikan bahawa hujung rotan digunakan untuk memukul pesalah.
Jenis – jenis hukuman yang boleh mengakibatkan seseorang dijatuhkan hukuman sebat ialah:

a. 354 : Menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.
b. 375 : Rogol
c. 376 : Seksaan bagi rogol
d. 376A : Sumbang mahram
e. 376B : Hukuman bagi sumbang mahram.
f. 377A : Persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
g. 377B : Seksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
h. 377C : Melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan, dan sebagainya.

sebatan cara sivil yang digunakan di malaysia

Rotan yang digunakan.
demonstari yang ditunjukkan oleh pegawai penjara dalam memberikan pengajaran kepada masyarakat


VIDEO :



iii. PENJARA SEUMUR HIDUP

Penjara seumur hidup ialah hukuman penjara bagi jenayah feloni serius (seperti pembunuhan bersiri, derhaka besar, rompakan yang menyebabkan kematian, mengedar dadah, berdagang manusia dan sebagainya di mana orang yang disabitkan dengan kesalahan akan dipenjarakan seumur hidupnya. Definisi penjara seumur hidup di Malaysia mengikut seksyen 57 Kanun Keseksaan hendaklah dikira sebagai bersamaan dengan penjara selama 20 tahun.Untuk hukuman penjara seumur hidup ini , tempoh 20 tahun itu juga boleh dipendekkan jika pesalah atau banduan menunjukkan kelakuan baik dan jika dia mendapat pengampunan daripada yang di Pertua- Agong. Jika pesalah telah didapati bersalah oleh Mahkamah dan dihukum penjara seumur hidup ,mereka tidak boleh dijamin . Walau bagaimanapun, ikat jamin masih boleh dipohon dan dibenarkan atas budi-bicara Mahkamah. Kesalahan –kesalahan jenayah yang boleh menyebabkan individu dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup bagi kesalahan-kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang membawa maksud penjara maksimum 20 tahun contohnya tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302, Seksyen 130J Kanun Keseksaan kerana membantu dan membantu dalam aktiviti keganasan, dan sebagainya yang boleh membawa hukuman penjaraa seumur hidup.
Bagaimanapun dalam banyak bidang kuasa, terdapat mekanisme formal yang membenarkan pesalah diberikan parol untuk masa tertentu. Ini bermakna pesalah berpeluang menghabiskan sisa masa hukuman (sehingga mereka mati) di luar penjara; tapi ini selalunya bersyarat bergantung kepada tingkah laku baik dan beberapa batasan atau tanggungjawab yang dikenakan.

contoh kes dikatakan mendokong pengganas.





iv. PENJARA SEPANJANG HAYAT.


Terdapat perbezaan antara hukuman penjara seumur hidup dan hukuman penjara sepanjang hayat, seperti yang dibincangkan sebelum ini jika seseorang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup ianya bermaksud dia hanya perlu menghabiskan masa di penjara selama 30 tahun dan jika berkelakuan baik dia mungkin dapat di bebaskan awal, namun untuk penjara sepanjang hayat seseorang yang telah didapati bersalah dan Mahkamah telah menjatuhkan hukuman maka ianya bermaksud individu akan terus duduk dalam penjara sehingga di meninggal dunia. Namun mengikut Peraturan 113 Peraturan Penjara 2000, setiap banduan yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hayat diberi hak untuk mengemukakan rayuan atau petisyen kepada Lembaga Pengampunan Negeri, Rayuan dan laporan itu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan Negeri mengikut tempoh yang ditetapkan untuk pertimbangan lanjut berhubung hukuman banduan berkenaan dan mengikut Peraturan 54, Jabatan Penjara juga akan menyediakan Laporan Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali bagi setiap banduan seumur hayat . Antara contoh kes yang dikenakan hukuman penjara sepanjang hayat ialah kes Al- Maunah dan ianya merupakan kes pertama di Malaysia yang dikenakan hukuman penjara sepanjang hayat. Namun mereka yang dikenakan hukuman ini masih ada peluang kedua sekiranya mereka berkelakuan baik dan mendapat pengampunan dari Sultan.

contoh kes Al-maunah 

Anggota yang dipenjara sepanjang hayat



CONTOH KES YANG MENDAPAT PENGAMPUNAN SULTAN (tekan link )
  1. http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/Umpama__8216_nyawakedua__8217_/Article/artikel
  1. http://nalisya78910.blogspot.com/2010/07/penjara-taiping.html
Kesimpulannya,polisi penghukuman di Malaysia adalah berteraskan pencegahan. Pengenaan hukuman mati untuk beberapa kesalahan dadah dan kesalahan senjata serta penambahan tempoh pemenjaraan untuk beberapa kesalahan, menunjukkan bahawa
hukuman yang berat itu dimaksudkan untuk mengurangkan kadar jenayah.



"Untuk sedikit makluman tambahan,mungkin tidak ramai yang mengetahuinya sebenarnya tempoh tahanan dalam penjara akan di ditolak dengan cuti umum,cuti hujung minggu dan cuti khas. Contoh yang mudah ialah  : 


“Si A dikenakan penjara selama setahun, masyarakat mungkin fikir dia akan menghabiskan masa selama setahun berada di dalam penjara namun sebenarnya dia hanya duduk di dalam penjara tersebut selama 8 bulan selepas semua cuti ditolak.”






Rujukan:

  1. Dr. Mahfoz Mohamad, Jenayah dalam Islam satu kajian i/miah mengenai hukum-hukum hudud, Nurin Enterprise, Kuala Lumpur, 1985.
  2. Undang-undang Malaysia, Akta 82 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Diterbitkan oleh Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang Malaysia di bawah kuasa Akta Penyemakan undang-undang 1968, 1994.
  3. Prof. Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim, Sistem undang-undang di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka,1987.

DISEDIAKAN OLEH : NUR ZULIANA BINTI AZIS

NO.MATRIK : 220211

Tiada ulasan:

Catat Ulasan