Pusat
pemulihan juvana ini adalah pusat yang menempatkan mereka yang berada di antara
umur 14 hingga 21 tahun yang melakukan kesalahan jenayah. Mereka yang bersalah
ini adalah menyimpang daripada norma masyarakat atau dalam erti kata lain
melakukan tingkah laku devian. tingkah laku devian merujuk kepada situasi di
mana apabila seseorang itu melanggar peraturan atau norma yang ditetapkan oleh
sesuatu masyarakat tertentu dan dalam kes ini masyarakat dikatakan sebagai
institusi sekolah , maka individu ini dikatakan bersifat devian.
Bagi menempatkan golongan pesalah bawah
umur ini, Sekolah Henry Gurney telah ditubuhkan. Pada awal penubuhan institusi
untuk juvana ialah pada tahun 1948, apabila sebuah institusi pemulihan belia
diperkenalkan di negara ini. Ianya ditubuhkan di Penjara Muar, Johor dengan
nama Sekolah Pemulihan Lanjutan (Advance Approved School). Sekolah ini
mempunyai mempunyai seramai lima puluh orang penghuni. Kemudian sekolah ini
telah dipindahkan ke Telok Mas, Malaka dalam tahun 1950. Ianya terletak di
suatu kawasan di tepi pantai Selat Melaka seluas 38 ekar dan lebih kurang 4 km
dari Bandar Melaka. Penubuhan sekolah itu bermula dengan pengubalan satu
ordinan dalam tahun 1947 yang kemudiannya membawa kepada terbentuknya Mahkamah
Juvana. Sebelum Sekolah Henry Gurney pertama dibina Melaka, sebahagian Penjara
Muar dijadikan Sekolah Akhlak Tinggi yang pertama di Tanah Melayu bagi
menempatkan golongan remaja yang diperintahkan oleh Mahkamah Juvana supaya
ditahan untuk pemulihan.
Sesetengah pihak akan beranggapan bahawa
remaja yang telah masuk ke Sekolah Henry Gurney ini tidak mempunyai masa depan.
Namun sekolah ini adalah seperti sekolah harian biasa di mana mereka turut
belajar seperti pelajar yang lain. Mereka turut belajar mengikut sukatan pelajaran
seperti biasa dan menduduki peperiksaan seperti pelajar lain. Melalui program
yang telah dijalankan oleh bahagian kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat
iaitu program Pemulihan Dalam Komuniti, pelajar yang terbabit kes juvana tidak
diambil untuk ditempatkan di pusat pemulihan, sebaliknya dibenarkan tinggal
bersama keluarga mereka. Dalam program ini, pelajar berkenaan diawasi pegawai
yang ditugaskan memantau pergerakan mereka. Sepanjang mengikuti program ini,
mereka diberi bimbingan dan kaunseling. Sepanjang masa bagi memastikan mereka
tidak mengulangi dan terjebak dengan salah laku yang dilakukan sebelum itu.
Setiap pelajar juga didedahkan kepada pendidikan akademik dan vokasional sama
ada membabitkan latihan kelas automotif, pendawaian elektrik, kimpalan,
komputer, pertukangan, serta kelas pertanian dan landskap selain pendedahan
kepada sukan dan rekreasi. Pengisian program seperti ini sedikit sebanyak akan
membantu mereka untuk sedar akan kesilapan mereka dan kembali ke dalam
masyrakat. Para penghuni juga akan diterapkan dengan pembelajaran moral dan
agama. Jika pelajar itu beragama Islam, mereka akan diterapkan mereka dengan
konsep ‘halqah’, fardu ain, ceramah agama dan kelas Iqra, manakala bimbingan
moral bagi pelajar beragama lain. Selain itu, bagi pelaku kes juvana yang
mengikuti program Pemulihan Dalam Institusi, pemantauan berkala dilakukan oleh
Pegawai Akhlak Pejabat Kebajikan Daerah. Pemantauan dilakukan bagi memastikan
mereka menggunakan masa secara sihat sebaik keluar dari pusat pemulihan dan tidak
kembali terjebak dengan salah laku lain.
Namun, kita sebagai masyarakat perlu
menyokong golongan ini untuk terus berada dalam masyarakat dan patuh kepada
norma yang telah ditetapkan. Ada juga kes yang melibatkan pesalah juvana yang
telah dibebaskan setelah melalui fasa pemulihan, namun masuk semula atas kes
yang lain atau atas kesalahan yang sama. Keadaan ini sering terjadi dan factor
yang menjadi penyebab adalah kekurangan sokongan daripada ahli keluarga dan
masyarakat. Pengulangan tingkah
laku jenayah atau residivisme boleh dianggap sebagai satu bentuk faktor
berterusan kepada tingkah laku delinkuensi. Faktor-faktor seperti demografi
umur, masalah sokongan keluarga, sejarah tingkah laku, masalah pendidikan dan
pekerjaan serta faktor-faktor klinikal individu seperti penggunaan dadah
dipercayai menjadi pendorong kepada tingkah laku jenayah berulang (Ang &
Huan, 2008). Residivisme sebenarnya telah menjadi ancaman yang serius kepada
remaja sejak era 80-an lagi. Ekoran kenaikan yang signifikan dalam kekerapan
jenayah juvana, kadar residivisme juga mencatatkan peningkatan yang sangat
tinggi (Brownell, Marlatt, Lichtenstein, & Wilson, 1986). Sebanyak 69
peratus pesalah juvana, dikatakan akan kembali terlibat dengan tingkah laku
delinkuensi dan tingkah laku jenayah yang serius dalam tempoh 6 tahun
pembebasan mereka (Beck & Shipley, 1987). Mengikut Myner, Santman,
Cappelletty dan Perlmutter (1998) dianggarkan separuh dari jumlah mereka akan
kembali semula ke pusat pemulihan dalam komuniti.
Masalah residivisme yang ketara turut dikaitkan kepada kegagalan pusat
pemulihan untuk memulihkan pesalah juvana. Di pusat pemulihan, pelatih-pelatih
diberi bimbingan dan pendedahan sebagai persediaan untuk kembali ke pangkuan
masyarakat (Miner, 2002). Hayden (2010) berpandangan bahawa pusat pemulihan
bersifat criminogenic dan persekitaran pusat secara tidak langsung
menyediakan satu set risiko yang menggalakkan remaja lain untuk memperkukuhkan
tingkah laku jenayah. Menurut Rokiah (2000), pendekatan rawatan simptom sahaja
tanpa menangani punca struktural boleh menyebabkan pengulangan masalah yang
sama oleh pelatih juvana selepas bebas daripada institusi pemulihan.
Residivisme sentiasa menjadi sangat tinggi apabila pendekatan hukuman yang
mudah tanpa mengambil kira hubungan interpersonal kekeluargaan dan komuniti
sebagai kunci utama (Ozawa, 2009). Faktor-faktor risiko yang lebih kerap
dikaitkan dengan residivisme adalah jantina, bangsa, penggunaan dadah,
kegagalan prestasi sekolah, masalah ponteng dan konflik dengan ibu bapa (Chang,
Chen, & Brownson, 2003).
Selain itu, risiko residivisme mungkin ada kaitannya dengan situasi
pusat pemulihan yang memberi kesan ke atas pengulangan semula tingkah laku
jenayah apabila dibebaskan kelak. Risiko residivisme akan terus meningkat
sekiranya pusat pemulihan hanya melaksanakan hukuman mudah dan mengabaikan
peranan keluarga dan komuniti sebagai agen perubah (Ozawa, 2009). Rata-rata
masyarakat menganggap bahawa, pusat pemulihan akhlak remaja merupakan satu
bentuk hukuman dalam sistem keadilan juvana. Konsep pusat pemulihan boleh
dipetik daripada ideologi yang mendefinisi pusat sebagai institusi yang hampir
setiap aspek kehidupan harian penghuni dikawal oleh orang lain (Mays &
Winfree, 2002). Pusat pemulihan akhlak amat sesuai untuk individu yang berisiko
rendah, pesalah kali pertama dan mereka yang mempunyai asas hubungan keluarga
kukuh (Austin, Johnson & Weitzer 2005). Pusat pemulihan akhlak, menyediakan
peluang untuk membangunkan kemahiran dan daya saing pelatih untuk menangani
cabaran kehidupan (Gemignani, 1994). Bagaimanapun, terdapat satu konspirasi tersirat
mengenai keadaan di pusat pemulihan juvana. Bertentangan dengan kepercayaan konvensional,
pusat pemulihan dipercayai berupaya memberi ruang kepada pengukuhan tingkah
laku delinkuensi (Murray & Cox, 1979). Selama tempoh penahanan, mereka secara
emosi dan fizikal terpisah daripada keluarga dan masyarakat yang dikatakan sebagai
agen perubahan remaja yang utama (Holman & Ziedenberg, 2007). Tambahan pula
mereka sangat terdedah kepada risiko kemurungan selama tempoh penahanan di
pusat pemulihan (Forrest, Tambor, Riley, Ensminger & Starfield, 2000).
Keadaan ini meningkatkan kemungkinan pelatih untuk berisiko membunuh diri dan
mencederakan diri sendiri (Mace, Rohde & Gnau, 1997).
Seterusnya, tempoh penahanan di pusat
pemulihan akan memberi implikasi kepada kehidupan sosial pelatih setelah
dibebaskan. Pelatih akan menghadapi kesukaran untuk kekal di tempat kerja dan
berpotensi untuk menjadi pekerja yang tidak stabil (Freeman, 1991).6 Selain
itu, sebanyak 40% remaja yang dibebaskan dari pusat pemulihan menghadapi
tekanan di sekolah dan mempunyai masalah untuk mengikuti proses pembelajaran
(LeBlanc, 1991). Banyak perbincangan yang telah diketengahkan dan diyakini
bahawa pusat pemulihan juvana hanya akan memudaratkan pelatih akibat pergaulan
bebas sesama pelatih juvana (Mennis & Harris, 2011). Peluang pelatih untuk
berinteraksi sesama mereka tanpa kawalan akan mengundang perbuatan jenayah yang
lebih serius pada masa akan datang. Dishion, McCord & Poulin (1999)
mencadangkan bahawa apabila pesalah yang serius dan tidak serius bergaul
bersama, sebahagian daripada mereka akan belajar tingkah laku delinkuensi yang
baru. Tambah membimbangkan lagi, remaja yang yang dimasukkan ke pusat pemulihan
juvana mempunyai kemungkinan untuk ditangkap semula sebanyak tujuh kali ganda
(Mennis & Harris, 2011).
Kesimpulannya, fenomena jenayah dalam
kalangan remaja bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditangani. Ilmu dan kemahiran
yang dimiliki juga masih membataskan kemampuan seseorang untuk membantu remaja
juvana kembali pulih. Justeru, semua faktor yang dikenalpasti sebagai penggerak
ke arah berlakunya jenayah juvana perlulah dikaji dan ditangani sedaya upaya
oleh semua pihak, terutamanya pihak kerajaan yang mengawal selia pusat
pemulihan akhlak remaja. Tumpuan haruslah diberikan kepada pembangunan agen
perubah iaitu pekerja sosial demi memastikan perkhidmatan yang dipraktis
disalurkan sewajarnya. Namun, beban tersebut tidak seharusnya didokong oleh
kerajaan dan pekerja sosial sahaja, walhal, ibubapa dan masyarakat harus bersiap
sedia dan bersama-sama menggembleng tenaga untuk membimbing remaja sedari awal
usia agar mereka terhindar dari delinkuensi dan jenayah. Biarpun cadangan-cadangan
ini dianggap klise, akan tetapi jika perkara ini dilaksanakan secara kolektif
dan teliti, jenayah juvana dan fenomena residivism pasti dapat dikurangkan.
Ini adalah sumber daripada youtube tentang pengalaman salah seorang bekas penghuni Henry Gurney. Terima kasih.
Ingatlah bahawa kita semua manusia biasa yang selalu melakukan khilaf. Siapalah kita mahu menjadi Tuhan untuk menghukum mereka?
Rujukan
- Ang, R. P., & Huan, V. S. (2008). Predictors of recidivism for adolescent offenders in a Singapore sample. Criminal Justice and Behavior, 35 (7), 895-905
- Brownell, K. D., Marlatt, G. A., Lichtenstein, W., & Wilson, G.T. (1986). Understanding and preventing relapse, American Psychologist, 41 (7), 765-782.
- Hayden, C. (2010). Offending behaviour in care: is children’s residential care a criminogenic environment? Child and Family Social Work, 15 (4), 461-472.
- Rokiah, I. (2000). Delinkuensi di Kalangan Penghuni Institusi Pemulihan. Dalam Negara Pasaran dan Pemodenan Malaysia, disunting oleh Abdul Rahman Embong. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Ozawa, J. (2009). Juvenile justice: a study of national judiciaries for the United Nations Asia and Far East Institute for the prevention of crime and the treatment of offenders. 139th International Taining Course Visiting Experts’ Papers. UNAFEI Fuchu, Tokyo, Japan.
- LeBlanc, L. A. (1991). Unlocking Learning; Chapter 1 in Correctional Facilities. Washington, DC: US Department of Education.
- Mennis, J. & Harris, P. (2011). Contagion and repeat offending among urban juvenile delinquents. Journal of Adolescent, 34 (5), 951-963.
- Dishion, T. J., McCord, J., & Poulin, F. (1999). When interventions harm: peer groups and problem behavior. American Psychologist, 54, 755–764.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan