Ahad, 7 Disember 2014

SISTEM KEADILAN JENAYAH

WAN NUR AINA MARDIANA BINTI WAN MUSTAPHA
219608


Definisi Sistem Keadilan Jenayah

Sistem keadilan jenayah merupakan sistem penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan penangkapan, pendakwaan, pembelaan, penghukuman dan pemenjaraan ke atas penjenayah. Sistem ini memberi jaminan kepada masyarakat bahawa setiap orang yang melanggar undang undang jenayah atau penjenayah tidak boleh terlepas daripada tindakan undang-undang ke atas mereka. Penjenayah hendaklah bertanggungjawab dengan setiap jenayah yang dilakukan dan hukuman yang setimpal akan dikenakan ke atas mereka. Pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan sistem ini adalah terdiri daripada beberapa agensi atau jabatan seperti polis, pendakwa raya, mahkamah, penjara dan lain-lain. 


Tujuan Sistem Keadilan Jenayah

Sistem keadilan jenayah mempunyai beberapa tujuan seperti berikut:
a) Menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat
b) Mencegah dan mengurangi jenayah
c) Mengambil tindakan undang-undang terhadap penjenayah
d) Memulihkan pesalah supaya menjadi warga yang berguna


Proses Keadilan Jenayah

Keadilan jenayah merupakan satu proses yang melibatkan langkah demi langkah bermula dengan penyiasatan terhadap penjenayah sehinggalah kepada pembebasan sabitan itu daripada penjara. Antara langkah yang diambil dalam proses sesuatu kes jenayah adalah seperti berikut:

a) Siasatan

Polis akan bertindak menjalankan siasatan apabila berlaku sesuatu jenayah. Ia bertujuan untuk mengumpulkan bukti bagi mengenalpasti sama ada jenayah itu wujud atau tidak. Jika didapati wujud, siasatan akan diteruskan lagi bagi menambahkan bukti untuk membolehkan penangkapan dilakukan. Kadang-kadang siasatan yang dijalankan memerlukan pemeriksaan terhadap seseorang atau harta benda. Sebab kemungkinan merupakan bukti standard yang digunakan dalam menjalankan sesuatu pemeriksaan. 

b) Penangkapan

Polis akan menangkap seseorang yang disyaki melakukan jenayah. Ini termasuk tindakan menahan mereka di lokap polis bagi tujuan siasatan lanjut dan pendakwaan. Sebab kemungkinan merupakan keperluan perundangan dalam setiap penangkapan. Ia bermaksud terdapat hubungan yang munasabah antara seseorang penjenayah dengan kesalahan jenayah yang dilakukannya.

c) Pendakwaan

Pendakwaan merupakan institusi yang melaksanakan tindakan undang-undang dengan mendakwa tertuduh kerana melakukan kesalahan jenayah. Pendakwa raya akan membuat pendakwaan setelah medapat bukti yang kukuh daripada pihak polis yang menyoal siasat tertuduh dan keterangan daripada saksi.

d) Runding Akuan

Tertuduh diberi peluang untuk membuat runding akuan (plea bargain) iaitu ia bersetuju untuk mengaku bersalah dan sebagai ganjaran hukuman yang yang lebih ringan akan dijatuhkan ke atasnya. Rundingan antara tertuduh dengan pendakwa raya akan dilakukan di kamar hakim. Sebarang keputusan yang dicapai akan dijadikan sebagai asas untuk menjatuhkan hukuman oleh hakim dalam perbicaraan nanti.


e) Perbicaraan

Tertuduh akan dibicarakan di mahkamah. Pendakwa raya akan mengemukakan bukti dan saksi untuk memberi keterangan bagi menguatkan hujah-hujah pendakwaan. Pihak tertuduh mungkin akan memberi keterangan melalui peguam atau tanpa khidmat peguam. Sepanjang perbicaraan tersebut, hakim akan mendengar dan meneliti segala hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak sebelum menjatuhkan hukuman.


f) Penghukuman

Penghukuman ke atas tertuduh akan dibuat oleh hakim. Sekiranya tertuduh didapati tidak bersalah ia akan dibebaskan tetapi jika didapati bersalah ia mungkin boleh didenda, pengawasan, kehadiran wajib (khidmat masyarakat) atau penjara.

g) Rayuan
Pendakwa raya atau tertuduh yang tidak berpuas hati dengan hukuman dijatuhkan oleh hakim boleh membuat rayuan kepada mahkamah yang lebih tinggi bagi tujuan supaya sesuatu kes itu didengar semula.

h) Hukuman dan Pemulihan

Tertuduh yang dijatuhkan hukuman penjara akan ditahan di sesebuah penjara berdasarkan tempoh masa yang diperintahkan oleh hakim. Ia dikenali sebagai banduan dan semasa dalam penjara ia tidak boleh dibebaskan sehinggalah tamat hukuman. Sepanjang tempoh penahanan ia akan tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang yang ditadbir oleh pihak berkuasa penjara. Dalam masa tersebut ia harus mengikuti semua program pemulihan yang dilaksanakan ke atasnya. Pemulihan bertujuan untuk memastikan banduan yang dibebaskan dari penjara akan dapat berdikari dan tidak mengulangi semula kesalahan jenayah.


Komponen Sistem Keadilan Jenayah

Sistem keadilan jenayah terdiri daripada beberapa agensi atau jabatan  yang mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab. Pada dasarnya ia mengandungi tiga komponen utama iaitu:


a) Polis


Polis merupakan pihak yang mula-mula berdepan dengan penjenayah dan mangsa jenayah. Tugas dan tanggungjawab polis ialah menjaga keamanan, melindungi masyarakat, mencegah dan mengurangi jenayah. Seseorang yang disyaki melakukan jenayah akan disiasat dan ditangkap oleh polis atau penguatkuasa lain. Penggunaan kekerasan kadangkala terpaksa dilakukan untuk membuat sesuatu tangkapan ke atas penjenayah terutamanya jika didapati ia sangat merbahaya dan boleh mencedera atau mengancam nyawa orang lain. Setelah tngkapan dibuat tertuduh mungkin dilepaskan tanpa sebarang tindakan, dilepaskan dengan jaminan atau ditahan untuk siasatan lanjut. Polis akan merujuk kepada pendakwa raya bagi tujuan pendakwaan dan keputusan sama ada tertuduh perlu didakwa di mahkamah atau tidak adalah bergantung kepada budi bicara pihak pendakwa raya.


b) Mahkamah

Tertuduh yang diputuskan untuk didakwa akan dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan. Hakim akan mendengar dan meneliti semua tuduhan yang dibuat ke atas tertuduh oleh pihak pendakwa.  Keputusan boleh dibuat dengan cepat jika tertuduh mengaku bersalah. Akan tetapi jika tertuduh tidak mengaku salah dan ia menggunakan perkhidmatan peguam bela maka perbicaraan biasanya akan mengambil masa yang lebih lama. Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bergantung kepada kategori kesalahan. Bagi kes jenayah berat seperti bunuh, cubaan bunuh, merompak, menyamun atau rogol, lazimnya hakim akan menjatuhkan hukuman penjara yang lebih berat kepada tertuduh. Antara tugas hakim yang paling rumit ialah pada ketika hendak memutus dan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh. Disebabkan oleh perkara tersebut kebanyakan hakim berpegang kepada prinsip iaitu biar 10 orang bersalah dibebaskan berbanding jika seorang yang tidak bersalah dijatuhkan hukuman bersalah. 


c) Penjara

Hanya mahkamah yang boleh menjatuhkan hukuman penjara ke atas seseorang yang dituduh melakukan kesalahan jenayah setelah melalui proses perbicaraan. Tertuduh yang disabitkan dengan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara dikenali sebagai banduan. Terdapat tiga tujuan utama hukuman penjara iaitu sebagai pembalasan, pengajaran dan pemulihan. Peranan penting yang perlu dilaksanakan oleh pihak penjara ialah menahan, melindungi dan memulihkan banduan. Semasa berada di penjara mereka akan melalui beberapa program sebelum dibebas  atau kembali semula ke pangkuan masyarakat. Antara program tersebut ialah orientasi, pembentukan personaliti, latihan kemahiran dan pemasyarakatan. . Setengah banduan yang cukup syarat seperti terdapat dalam sistem ampun dan parol layak dibebaskan lebih awal.



RUJUKAN


1 ulasan: